JAKARTA, 2 September – Polis Indonesia didakwa melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan berhampiran dua universiti di sebuah bandar utama, sekali gus meningkatkan ketegangan dalam demonstrasi yang telah meragut lapan nyawa sejak minggu lalu.
Badan pelajar Universiti Islam Bandung (UNISBA) dan Universiti Pasundan, yang terletak lebih 140 kilometer di barat Jakarta, melaporkan melalui Instagram pihak berkuasa melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan berhampiran kampus pada petang Isnin.
Pegawai polis tempatan, Hendra Rochmawan, menjelaskan bahawa pasukan keselamatan tidak menceroboh kawasan kampus, sebaliknya bertindak mengejar penunjuk perasaan bukan dalam kalangan pelajar yang dilaporkan berlindung dalam universiti selepas menghalang lalu lintas di sekitar kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Dekan UNISBA, Harits Nu’man, menyokong kenyataan pihak polis dan menjelaskan bahawa kampus berkenaan dijadikan pusat rawatan perubatan sementara bagi penunjuk perasaan yang tercedera.
Namun, badan pelajar UNISBA menuduh pasukan keselamatan bertindak kasar, mendakwa serangan gas pemedih mata telah menyebabkan sesetengah pelajar mengalami masalah pernafasan.
Mereka juga mengkritik tindakan polis yang didakwa cuba menyekat suara dan pendapat yang berbeza.-REUTERS