fb fb fb fb fb

Rusia serang kenderaan ICRC, 3 petugas maut

Kenderaan ICRC yang terbakar, susulan serangan Rusia di timur Ukraine/ AFP

KIEV, 12 September- Serangan Rusia ke atas kenderaan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) pada Khamis di timur Ukraine telah membunuh tiga orang.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky memaklumkan serangan tersebut berlaku di wilayah Donetsk.

Selain membunuh tiga warga Ukraine yang bekerja untuk ICRC, serangan tersebut turut mencederakan dua orang, kata Pesuruhjaya Parlimen Ukraine bagi Hak Asasi Manusia Dmytro Lubinets.

Bagaimanapun, tiada komen segera dari Rusia, yang lazimnya mengatakan serangan hanya menyasarkan tentera Ukraine.

Menurut Misi Kemanusiaan PBB ke Ukraine, 50 petugasnya terbunuh atau cedera di Ukraine pada tahun lalu, termasuk 11 terbunuh semasa menjalankan tugas.

“Sejak awal tahun, corak serangan berulang ini nampaknya semakin meningkat,” kata Penyelaras Kemanusiaan PBB Denise Brown dalam satu kenyataan pada Februari.

Sementara itu, ICRC telah mengesahkan insiden bahawa tiga kakitangannya terbunuh akibat tembakan di timur Ukraine.

Presiden ICRC Mirjana Spoljaric menerusi kenyataan mengutuk sekeras-kerasnya serangan tersebut.

"Adalah tidak wajar tembakan ke lokasi pengedaran bantuan. Hati kami hancur hari ini kerana kehilangan rakan sekerja kami", katanya.

ROSLINA BINTI DIN