MOSCOW, 14 Ogos - Rusia mengumumkan sekatan terhadap panggilan melalui aplikasi pemesejan WhatsApp dan Telegram sebagai langkah memerangi jenayah.
Badan kawal selia telekomunikasi Rusia, Roskomnadzor, berkata langkah itu diambil untuk mengehadkan panggilan pada kedua-dua aplikasi tersebut.
Ia didakwa menjadi saluran utama bagi penipuan, pemerasan serta penglibatan rakyat Rusia dalam kegiatan subversif dan keganasan.
"Langkah diambil untuk mengehadkan sebahagian panggilan pada aplikasi pemesejan asing ini bagi memerangi penjenayah," kata Roskomnadzor seperti dipetik agensi berita RIA dan TASS.
Perkhidmatan keselamatan Rusia kerap mendakwa Ukraine menggunakan Telegram untuk merekrut individu atau melakukan sabotaj di negara itu.
Moscow mahu pengendali aplikasi tersebut memberi akses kepada data apabila diminta pihak penguatkuasa, bukan sahaja bagi siasatan penipuan tetapi juga berkaitan kegiatan yang disifatkan sebagai keganasan.
"Akses kepada panggilan dalam aplikasi pemesejan asing akan dipulihkan selepas mereka mematuhi undang-undang Rusia," kata Kementerian Digital Rusia.
Dalam kenyataan kepada AFP, Telegram menegaskan ia sentiasa memerangi salah guna platformnya termasuk seruan untuk melakukan sabotaj, keganasan dan penipuan, serta memadam jutaan kandungan berbahaya setiap hari.
Sejak melancarkan serangan di Ukraine, Rusia telah mengehadkan kebebasan media dan kebebasan bersuara di internet secara drastik.
Jurucakap WhatsApp pula berkata aplikasi itu bersifat peribadi, menggunakan penyulitan hujung ke hujung, dan menentang cubaan kerajaan melanggar hak rakyat terhadap komunikasi selamat.-AFP