fb fb fb fb fb

Banjir terburuk dalam tempoh sedekad landa pinggir Lembah Mexico

Penduduk memeriksa sebuah kereta yang terperangkap di jalan yang dilanda banjir susulan hujan lebat luar biasa di Nezahualcoyotl, kawasan pinggir Mexico City/ Foto REUTERS

MEXICO CITY, 14 Ogos - Hujan lebat berterusan sejak Ahad hingga Isnin membanjiri ratusan kediaman di Nezahualcoyotl, pinggir Lembah Mexico, sekali gus menjejaskan operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Mexico City.

Di beberapa kawasan, paras air mencecah paras lutut, manakala di dalam rumah yang terletak lebih rendah daripada aras jalan, air masuk lebih tinggi sehingga merosakkan perabot, pakaian, peralatan elektrik dan barangan rumah. Penduduk berusaha menyelamatkan harta benda dengan memindahkannya ke tingkat atas.

Seorang penduduk, Fernando Aleman Duran berkata banjir kali ini adalah yang terburuk dalam tempoh 10 hingga 12 tahun dan menyalahkan sistem perparitan yang lemah selain jumlah hujan yang luar biasa.

Hujan lebat tiga hari berturut-turut di kawasan metropolitan Mexico City sejak hujung minggu lalu turut mencetuskan amaran jingga, kelewatan dan pembatalan penerbangan secara besar-besaran di lapangan terbang.

Datuk Bandar Mexico City, Clara Brugada berkata hujan kali ini adalah yang terburuk sejak tahun 1952. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN