PORT SUDAN, 14 Ogos - Dua orang termasuk seorang kanak-kanak berusia 11 tahun maut dalam serangan dron di bandar Tamboul, tenggara ibu negara Sudan pada Rabu, menurut sumber perubatan.
Serangan itu berlaku ketika ratusan penduduk berkumpul di dataran utama bagi meraikan Hari Angkatan Tentera Sudan, menyebabkan kekacauan di lokasi. Pertahanan udara dilaporkan bertindak balas terhadap serangan tersebut.
Tiada pihak daripada tentera mahupun pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) mengeluarkan kenyataan berhubung insiden itu. Ia merupakan serangan pertama dalam beberapa bulan di negeri Al-Jazira, kawasan pertanian utama Sudan sebelum perang.
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan, kira-kira sejuta penduduk telah kembali ke Al-Jazira sejak tentera menguasai semula wilayah itu daripada RSF pada Januari lalu.
Sejak konflik antara tentera Sudan dan RSF meletus pada April 2023, puluhan ribu nyawa terkorban dan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Pihak tentera kini menguasai wilayah tengah, utara dan timur Sudan, manakala RSF mengawal hampir keseluruhan barat dan sebahagian selatan negara itu. -AFP