ROM, 14 Ogos - Sekurang-kurangnya 26 migran maut manakala 10 lagi dilaporkan hilang selepas dua bot karam berhampiran pulau Lampedusa, Itali, pada Rabu, menurut pengawal pantai negara itu dan pegawai Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Kira-kira 60 mangsa berjaya diselamatkan dalam insiden di Laut Mediterranean Tengah, laluan laut antara Afrika Utara dan Itali yang digelar PBB sebagai persimpangan laut paling berbahaya di dunia bagi pelarian dan migran.
Menurut pengawal pantai Itali, kedua-dua bot tersebut berlepas dari Tripoli, Libya, pada awal hari kejadian. Sebuah bot mula dimasuki air, menyebabkan penumpangnya berpindah ke bot kedua, namun bot itu turut terbalik akibat muatan berlebihan.
“Setakat ini, 60 orang berjaya diselamatkan dan dibawa ke Lampedusa, dengan sekurang-kurangnya 26 mangsa maut direkodkan. Angka ini masih bersifat sementara dan akan dikemas kini,” kata pengawal pantai dalam satu kenyataan.
Palang Merah Itali yang mengurus pusat penerimaan migran di Lampedusa memaklumkan bahawa mangsa yang terselamat terdiri daripada 56 lelaki dan empat wanita.
Jurucakap Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), Flavio Di Giacomo, berkata sekitar 95 orang berada di atas kedua-dua bot tersebut. Berdasarkan jumlah yang diselamatkan, beliau menganggarkan kira-kira 35 orang dipercayai maut atau hilang. -AFP