Seoul, 14 Ogos - Adik perempuan kepada pemimpin Korea Utara, Kim Yo Jong, menafikan laporan tentera Korea Selatan bahawa Pyongyang telah menanggalkan pembesar suara propaganda di sepanjang sempadan.
Dalam kenyataan berbahasa Inggeris yang disiarkan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), Kim menyatakan usaha Korea Selatan untuk meredakan ketegangan adalah tidak bermakna.
"Kami tidak pernah menanggalkan pembesar suara yang dipasang di kawasan sempadan dan tidak berhasrat untuk menanggalkannya," kata Kim yang juga adik kepada Kim Jong Un.
Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, sejak pemilihannya pada Jun berikrar untuk mengadakan dialog dengan Korea Utara tanpa prasyarat, berbeza dengan pendirian keras pendahulunya.
Sebelum ini, Korea Selatan menyiarkan muzik K-pop dan laporan berita ke arah Korea Utara sebagai tindak balas terhadap siaran bunyi pelik oleh Pyongyang di sempadan yang mengganggu penduduk tempatan.
Kedua-dua negara telah menghentikan siaran propaganda di Zon Bebas Tentera, menurut tentera Korea Selatan pada Jun selepas pemilihan Lee.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan pada 5 Ogos memaklumkan pembesar suara di pihaknya mula ditanggalkan sebagai langkah praktikal untuk membantu mengurangkan ketegangan dengan Korea Utara.
Dalam kenyataannya, Kim menolak langkah tersebut dan mendakwa Seoul cuba mengelirukan pandangan umum dengan mendakwa dasar "toleransi" mereka mendapat sambutan serta memulihkan hubungan antara kedua-dua negara.
"Kami telah menjelaskan beberapa kali bahawa kami tidak berhasrat memperbaiki hubungan dengan Korea Selatan dan pendirian ini akan dimasukkan ke dalam perlembagaan kami pada masa depan," kata Kim.
Kenyataan itu dibuat ketika Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) bersiap mengadakan latihan ketenteraan tahunan bersama dari 18 hingga 28 Ogos bagi mengekang ancaman Korea Utara.
Korea Utara yang menyerang jirannya pada 1950 sehingga mencetuskan Perang Korea, sentiasa menentang latihan ketenteraan bersama AS-Korea Selatan yang dianggap sebagai persediaan untuk pencerobohan.
"Sama ada Korea Selatan menarik balik pembesar suara atau tidak, menghentikan siaran atau tidak, menangguh atau mengurangkan latihan ketenteraan atau tidak, kami tidak peduli dan tidak berminat," katanya lagi.
Kedua-dua negara secara teknikal masih berada dalam keadaan berperang kerana Perang Korea 1950-1953 berakhir dengan gencatan senjata, bukannya perjanjian damai.-AFP