fb fb fb fb fb

NGO antarabangsa dakwa undang-undang baharu Israel sekat bantuan ke Gaza

Surat bersama Oxfam, Doktor Tanpa Sempadan dan CARE mendakwa sekurang-kurangnya 60 permohonan membawa masuk bantuan ke Gaza ditolak Israel pada bulan Julai sahaja. Foto-AFP

BAITULMAQDIS, 14 Ogos - Lebih seratus pertubuhan bantuan antarabangsa mendakwa undang-undang baharu Israel telah menghalang penghantaran bantuan penting kepada penduduk Gaza.

Dalam surat bersama yang diterbitkan pada Khamis, pertubuhan seperti Oxfam, Doktor Tanpa Sempadan (MSF) dan CARE menyatakan sekurang-kurangnya enam puluh permohonan untuk membawa masuk bantuan ke Gaza telah ditolak pada bulan Julai sahaja.

Organisasi berkenaan menegaskan bahawa peraturan baharu tersebut menyebabkan penduduk Gaza terputus daripada bekalan makanan, ubat-ubatan dan perlindungan yang amat diperlukan, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan di wilayah itu.

Pengarah CARE di wilayah Palestin, Jolien Veldwijk, berkata mandat pihaknya adalah untuk menyelamatkan nyawa, namun sekatan pendaftaran yang dikenakan oleh Israel telah menghalang sebarang penghantaran bantuan sejak sekatan penuh dikenakan pada bulan Mac, walaupun ia sebahagiannya dilonggarkan pada bulan Mei.

Surat bersama itu menjelaskan, sejak pelaksanaan undang-undang baharu pada bulan Mac, banyak permohonan bantuan asing untuk menghantar bantuan ke wilayah Palestin telah ditolak dengan alasan tidak mendapat kebenaran untuk mengagihkan bantuan.

Israel digesa menarik balik peraturan baharu yang disifatkan sebagai menghalang usaha kemanusiaan, sekali gus membiarkan penduduk Gaza tanpa bantuan pada saat mereka berdepan situasi yang semakin meruncing.-AFP

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN