Buenos Aires, 14 Ogos - Sekurang-kurangnya 87 orang maut di Argentina selepas menerima fentanyl yang dijangkiti bakteria di hospital, kata hakim yang menyiasat kes berkenaan pada Rabu.
Hakim Ernesto Kreplak berkata siasatan sejak Mei lalu mendapati kematian tersebut berpunca daripada beberapa kelompok ubat fentanyl yang tercemar dengan bakteria Klebsiella pneumoniae dan Ralstonia pickettii.
Menurut beliau, kematian dilaporkan berlaku di hospital-hospital di bandar dan wilayah Buenos Aires serta tiga lagi wilayah lain.
“Sekurang-kurangnya 24 individu telah disoal siasat dan aset mereka dibekukan,” katanya kepada akhbar harian The Nation yang menyiarkan laporan tersebut pada Rabu.
Antara yang disiasat ialah Ariel Furfaro Garcia, pemilik HLB Pharma dan Ramallo Laboratories yang didakwa menghasilkan serta menjual ubat tercemar itu.
Bagaimanapun, Furfaro Garcia menafikan dakwaan tersebut dan menyalahkan bekas rakan sekerja kerana didakwa menyebarkan cerita itu kepada media.
“Ini adalah rekaan media. Semua rekod klinikal menunjukkan pesakit dijangkiti bakteria lain yang lebih berbahaya, selain merupakan individu dengan masalah kesihatan serius,” katanya kepada akhbar Clarin.
Siasatan bermula selepas Agensi Kawal Selia Ubat Argentina (Anmat) menerima aduan daripada sebuah hospital yang menemui ubat tercemar dalam bekalan mereka, kata seorang kakitangan Anmat kepada AFP.
Akhbar The Nation melaporkan sekurang-kurangnya lima kelompok ubat fentanyl tercemar telah diedarkan ke lapan hospital dan pusat kesihatan di negara itu, manakala siasatan turut meneliti rekod klinikal daripada 200 hospital.
Dua minggu lalu, ahli keluarga mangsa mengadakan demonstrasi di luar Hospital Itali di La Plata, 60 kilometer selatan Buenos Aires, tempat kematian pertama dilaporkan, bagi menuntut keadilan untuk mangsa fentanyl.
“Fentanyl menyebabkan kematiannya dalam tempoh beberapa hari,” kata Alejandro Ayala, abang kepada Leonel yang meninggal dunia pada usia 32 tahun, kepada AFP.
Pakar memberi amaran angka kematian mungkin meningkat apabila lebih banyak rekod perubatan diteliti dan kes disahkan di hospital yang sebelum ini tidak melaporkan kematian berkaitan fentanyl.
Kongres Argentina pada Rabu mengemukakan 26 soalan berkaitan kes ini kepada pihak Eksekutif, namun tiada tarikh akhir ditetapkan untuk jawapan.-AFP