fb fb fb fb fb

Rusia perlu dua hingga empat tahun untuk kembalikan kekuatan tentera- Estonia

(Menteri Pertahanan Estonia, Hanno Pevkur, pada sidang media
di Washington DC, Amerika Syarikat/ AFP)

WASHINGTON, 19 Oktober- Menteri Pertahanan Estonia, Hanno Pevkur menjangkakan, Rusia mungkin memerlukan dua hingga empat tahun untuk membina semula kekuatan tenteranya di Ukraine.

Sehubungan itu beliau menggesa masyarakat antarabangsa memberi tekanan berterusan untuk membendung keghairahan Moscow untuk menawan Ukraine.

Dalam lawatan ke Washington, Pevkur turut meramalkan perang yang panjang dan menggesa Barat untuk berdiri bersama Ukraine sehingga mereka mencapai kemenangan untuk 'dunia bebas'.

Pevkur berkata, Rusia kini mula beralih kepada dron kamikaze yang dibekalkan Iran sebagai senjata utama serangan di Ukraine.

Beliau juga memaklumkan ada mendengar laporan bahawa sebahagian besar senjata Moscow tidak dapat digunakan atau gagal berfungsi di lapangan selepas terlalu lama disimpan.

Antara lain, katanya, sistem pertahanan udara S-300 diguna bagi melancarkan peluru berpandu biasa dan kebanyakannya meletup di udara sebelum sampai ke sasaran kerana sudah terlalu tua.


(FOTO FAIL/AFP)

"Hakikatnya, Rusia memerlukan masa dua hingga empat tahun untuk memulihkan beberapa keupayaan, bahkan mencapai keupayaan menyamai yang mereka ada sebelum perang," katanya kepada wartawan di Amerika Syarikat (AS).

Tambah beliau, sekatan Barat juga menjejaskan pengeluaran kapal terbang dan penyelenggaraan helikopter dengan menghalang Rusia daripada mendapatkan komponen utama.

"Apabila kita boleh mencari cara baharu bagi mengekang kegiatan Rusia menerusi sekatan, kita perlu melakukannya dengan segera," katanya.

Pevkur, yang bertemu Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, turut memberi amaran bahawa Rusia masih mempunyai kapasiti untuk melakukan serangan, termasuk terhadap anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) seperti Estonia.

Bagaimanapun, beliau menafikan kemungkinan serangan nuklear, ancaman yang dikeluarkan oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin, ketika beliau mengisytiharkan penjajahan wilayah Ukraine.

Katanya, Rusia sudah 'menghadirkan ketakutan kepada Ukraine' dengan serangan konvensional.

"Saya tidak nampak apa-apa nilai tambahan yang positif kepada Rusia menerusi serangan nuklear.

"Satu-satunya perkara - apa yang boleh berlaku ialah mereka akan kehilangan penyokong senyap mereka seperti China atau yang lain kerana itu," katanya. - AFP

Media Baharu