fb fb fb fb fb

Satu bilion kanak-kanak berisiko akibat perubahan iklim

(FOTO FAIL/ Unicef)

NETHERLANDS, 19 Oktober- Indeks yang dikeluarkan KidsRights menunjukkan, kira-kira satu bilion kanak-kanak kini 'berisiko sangat tinggi' akibat perubahan iklim dan terbantutnya taraf hidup belia pada dekad yang lalu.

Kumpulan hak asasi manusia itu berkata, berdasarkan angka agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih satu pertiga daripada kanak-kanak dunia, iaitu kira-kira 820 juta orang kini terdedah kepada gelombang haba.

Badan bukan kerajaan dari Belanda itu juga berkata, kekurangan air turut menjejaskan sebanyak 920 juta kanak-kanak di seluruh dunia, manakala penyakit seperti malaria dan denggi menjejaskan kira-kira 600 juta kanak-kanak.

Indeks KidsRights yang menjadi satu-satunya analisis yang menilai hak kanak-kanak pada setiap tahun, meletakkan Iceland, Sweden dan Finland sebagai negara terbaik yang memperjuangkan hak kanak-kanak manakala Sierra Leone, Afghanistan dan Chad terburuk daripada 185 negara.


(Sierra Leone, Afghanistan dan Chad terburuk dalam analisis menilai hak kanak-kanak
daripada 185 negara / AFP)

Dalam tiga negara teratas, hanya kedudukan Sweden yang berubah dari tahun sebelumnya, bergerak ke tempat kedua dari tempat keempat.


Marc Dullaert, pengasas dan pengerusi KidsRights, menyifatkan laporan tahun ini sebagai 'membimbangkan bagi generasi kanak-kanak semasa dan akan datang'.

"Iklim yang berubah dengan pantas kini mengancam masa depan mereka dan hak asasi mereka.

"Tiada kemajuan ketara dalam taraf kehidupan kanak-kanak sepanjang dekad yang lalu dan selain itu, mata pencarian mereka terjejas teruk akibat pandemik COVID-19," katanya.

Pandemik COVID-19 turut memberi kesan buruk terhadap kanak-kanak, kerana ada yang tidak mendapat makanan atau ubat akibat gangguan dan penutupan klinik, sehingga mengakibatkan kira-kira 286,000 kanak-kanak bawah umur lima tahun meninggal dunia.

Indeks KidsRights yang disusun bersama Universiti Erasmus Rotterdam turut menyatakan, buat pertama kali dalam dua dekad, bilangan buruh kanak-kanak meningkat kepada 160 juta, mewakili peningkatan sebanyak 8.4 juta dalam tempoh empat tahun lalu.

KidsRights memaklumkan, dua negara iaitu Angola dan Bangladesh dikesan meningkatkan markah mereka dengan ketara dalam isu hak kanak-kanak.

Angola mengurangkan lebih separuh kematian kanak-kanak bawah lima tahun, manakala Bangladesh pula mengurangkan jumlah kanak-kanak kurang berat badan di bawah lima tahun kepada hampir separuh.

Bagaimanapun laporan itu menyelar Montenegro, disebabkan kadar vaksinasi yang rendah, dengan menduduki tempat ke-49 dalam indeks berkenaan

Tinjauan itu menggunakan data PBB untuk mengukur bagaimana negara-negara memenuhi Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-kanak. - AFP

Media Baharu