fb fb fb fb fb

Iran tegas pertahankan hak nuklearnya

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi (kiri), tiba di Muscat

DOHA, 11 Mei - Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi menegaskan negaranya tidak berniat membangunkan senjata nuklear, sebaliknya hanya menuntut hak kepada tenaga nuklear secara aman seperti yang dijamin dalam undang-undang antarabangsa.

Bercakap di Persidangan Dialog Arab-Iran keempat di Doha, Araghchi menegaskan komitmen Iran terhadap Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) sambil mengkritik sikap hipokrit kuasa Barat yang membisu terhadap keupayaan nuklear rejim "penjajah dan penjenayah" tetapi membantah program nuklear aman negara lain.

Beliau menyatakan bahawa jika matlamat rundingan dengan Amerika Syarikat adalah untuk mengelak Iran membangunkan senjata nuklear, maka persetujuan masih boleh dicapai. Namun, Iran tidak akan berundur sekiranya rundingan bertujuan menafikan hak asas negaranya.

Rundingan tidak langsung pusingan keempat dijadualkan berlangsung di Oman, dengan tarikh dan lokasi ditentukan negara perantara itu.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Iran, Ali Akbar Ahmadian menekankan bahawa kemajuan rundingan bergantung sepenuhnya kepada pendekatan Amerika Syarikat, dan Iran tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan luar.

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI