fb fb fb fb fb

Pilihan raya umum Albania bermula, lebih 3.7 juta pengundi berdaftar

Seorang lelaki mengundi di pusat pengundian di Tirana pada 11 Mei sempena pilihan raya parlimen Albania. Rakyat Albania keluar mengundi bagi menentukan sama ada Perdana Menteri Edi Rama akan diberikan mandat penggal keempat atau menyokong pencabar lamanya dalam pilihan raya yang dilihat penting untuk cita-cita negara itu menyertai Kesatuan Eropah.- Foto Afp

TIRANA, 11 Mei - Lebih 3.7 juta pengundi berdaftar di Albania mula keluar mengundi dalam pilihan raya umum ke-11. Pengundi layak memilih ahli parlimen bagi 140 kerusi Parlimen, melibatkan penyertaan 53 parti politik dan tiga gabungan prapilihan raya.

Proses pengundian berlangsung dari 7 pagi hingga 7 malam waktu tempatan di 5,225 pusat mengundi. Buat pertama kali, hampir 246,000 rakyat Albania yang berdaftar di luar negara turut dibenarkan mengundi sama ada melalui e-mel atau pos, dengan proses itu ditutup pada 7 malam Ahad waktu tempatan .

Mengikut undang-undang pilihan raya Albania, sesebuah parti perlu memperoleh sekurang-kurangnya satu peratus undi nasional untuk memasuki Parlimen.

Dalam tinjauan pendapat, Parti Sosialis pimpinan Perdana Menteri Edi Rama mendahului, manakala parti pembangkang utama, Parti Demokrat yang diketuai bekas Perdana Menteri Sali Berisha turut dilihat sebagai pencabar utama.

Blok Berisha, iaitu Perikatan Albania Raya, merangkumi 25 parti sekutu.

Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) akan menghantar kira-kira 100 pemerhati bagi memantau pilihan raya itu.- BERNAMA

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI