fb fb fb fb fb

Rusia pasti bertindak balas terhadap serangan ATACMS Ukraine- Kremlin

Foto AFP

MOSCOW, 12 Disember- Rusia pasti akan bertindak balas terhadap serangan Ukraine ke atas sebuah lapangan terbang di selatan yang menggunakan peluru berpandu ATACMS yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat (AS).

Presiden Vladimir Putin sebelum ini mengancam untuk melancarkan peluru berpandu balistik hipersonik baharu Rusia 'Oreshnik', ke Kiev, jika Ukraine tidak menghentikan serangan ke atas wilayah Rusia menggunakan peluru berpandu ATACMS.

Kementerian Pertahanan Rusia menuduh Ukraine menembak peluru berpandu itu dalam serangan pada waktu malam ke atas lapangan terbang di bandar pelabuhan Taganrog, wilayah Rostov di selatan.

"Tindak balas akan berlaku dan dengan cara yang sesuai. Ia pasti akan berlaku," kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, kepada wartawan.

Beliau tidak memberikan butiran mengenai tindak balas Rusia.

Washington baru-baru ini memberikan kebenaran kepada Kiev untuk melancarkan peluru berpandu Atacms ke wilayah Rusia, selepas beberapa bulan permintaan.

Amerika Syarikat memberi amaran bahawa Rusia mungkin sedang bersiap sedia untuk melancarkan semula peluru berpandu Oreshnik ke Ukraine.

"Amaran AS itu berdasarkan penilaian risikan bahawa kemungkinan Rusia boleh menggunakan peluru berpandu Oreshnik dalam beberapa hari akan datang," kata Timbalan Setiausaha Akhbar Pentagon, Sabrina Singh, kepada wartawan.

Kedua-dua pihak telah meningkatkan serangan udara dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Kementerian Pertahanan Rusia pada hari Khamis juga menyatakan bahawa tenteranya telah merampas semula sebuah penempatan di wilayah Kursk barat, lokasi Ukraine melancarkan serangan rentas sempadan mengejut pada Ogos lalu.

Kementerian itu turut melaporkan bahawa tenteranya juga telah menawan sebuah penempatan kecil di wilayah Donetsk, timur Ukraine.-AFP

ROSLINA BINTI DIN