fb fb fb fb fb

Rusia gantung penyertaan dalam perjanjian eksport bijirin Ukraine

(Kapal kargo di pelabuhan laut Odesa selepas memulakan eksport bijirin/REUTERS)

MOSCOW, 30 Oktober- Rusia menggantung penyertaan dalam perjanjian eksport bijirin Ukraine.

Tindakan itu sebagai tindak balas terhadap serangan dron besar-besaran Kiev ke atas armadanya di Laut Hitam, di Crimea.

Keputusan itu dimaklumkan menerusi sepucuk surat yang diutuskan kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.

Moscow mahu menangguhkan perjanjian untuk tempoh yang tidak ditentukan. Mereka memberi alasan tidak dapat menjamin keselamatan kapal awam yang melakukan perjalanan bawah pakatan itu.

Moscow juga telah meminta Majlis Keselamatan PBB untuk bertemu pada hari Isnin mengenai serangan itu, Timbalan Duta Besar PBB Rusia Dmitry Polyanskiy menulis di Twitter.

Penyelaras PBB untuk pusat penyelarasan perjanjian bijirin Laut Hitam yang berpangkalan di Istanbul yang terdiri daripada pegawai PBB, Rusia, Ukraine dan Turkiye berkata lima kapal keluar dan empat kapal masuk telah selamat menerusi 'koridor kemanusiaan'.

"Terdapat lebih 10 kapal keluar dan masuk menunggu untuk memasuki koridor," kata Amir Abdulla dalam satu kenyataan, sambil menambah tiada persetujuan antara pihak untuk pergerakan kapal pada Ahad.

Britain berkata dakwaan Rusia, termasuk anggota tentera laut Britain meletupkan saluran paip Nord Stream bulan lepas, adalah palsu dan bertujuan mengalih perhatian daripada kegagalan tentera Rusia.


(Ladang berhampiran kampung Zghurivka di wilayah Kiev/REUTERS)

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata apa yang disebutnya sebagai langkah mengarut Rusia memerlukan tindak balas antarabangsa daripada PBB dan Kumpulan G20, ekonomi utama.

"Ini adalah percubaan secara terang-terangan oleh Rusia untuk kembali meningkatkan ancaman kebuluran untuk Afrika, Asia," kata Zelenskiy dalam ucapan video, sambil menambah bahawa Rusia harus 'ditendang' keluar daripada G20.

Menteri Luar Ukraine Dmytro Kuleba berkata Moscow menggunakan alasan palsu untuk menamatkan perjanjian bijirin itu.

"Saya menyeru semua negara untuk menuntut Russia menghentikan permainan dan komited semula untuk memenuhi kewajipannya," kata Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba di Twitter.

Kesatuan Eropah dalam satu kenyataan berkata adalah penting bagi semua pihak menahan diri daripada sebarang tindakan yang boleh membahayakan Inisiatif Bijirin Laut Hitam yang merupakan usaha kemanusiaan kritikal.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengecam keputusan Rusia menggantung penyertaan dalam perjanjian eksport bijirin Ukraine tersebut.

Beliau menyifatkan ia akan meningkatkan lagi krisis makanan global akibat perang Rusia-Ukraine.

"Tiada manfaat kepada apa yang mereka lakukan. PBB telah mengadakan rundingan perjanjian itu dan itu sepatutnya menjadi penghujungnya," kata Biden kepada media di negeri kelahirannya di Delaware.

Perjanjian itu membenarkan penghantaran bijirin dari Ukraine, salah satu pengeksport terbesar dunia.-REUTERS

Media Baharu