fb fb fb fb fb

Rusia lancar serangan udara menjelang hari ulang tahun Ukraine

(Kepulan asap di bandar Kiev selepas serangan
peluru berpandu Rusia, 
pada 26 Mei/REUTERS)

Kiev, 28 Mei– Rusia melancarkan serangan udara semalaman ke atas Kiev ketika ibu negara Ukraine itu bersiap sedia untuk menyambut hari ulang tahun pada Ahad.

Sistem pertahanan udara Ukraine telah menembak jatuh sekurang-kurangnya 20 dron yang menuju ke arah Kiev.

Menurut Datuk Bandar Vitali Klitschko, serangan itu telah mengorbankan seorang lelaki berusia 41 tahun dan mencederakan seorang wanita berusia 35 tahun di bandar itu.

Serangan yang berlaku pada tengah malam hari Ahad terakhir bulan Mei, ketika ibu negara Ukraine itu bersedia untuk menyambut hari ulang tahun penubuhannya secara rasmi 1,541 tahun lalu.

Sambutan hari ulang tahun tersebut akan disertai dengan pameran jalanan, konsert dan pameran muzium khas, yang telah dirancang pada tahun ini dalam skala yang lebih kecil.


(Datuk Bandar Kiev, Vitali Klitschko/REUTERS)

Kiev merupakan bandar terbesar di Ukraine yang terdiri daripada beberapa daerah dengan populasi kira-kira tiga juta penduduk telah diserang semalaman, termasuk kawasan berhampiran Pecherskyi.

Saksi Reuters berkata semasa amaran serangan udara yang bermula selepas tengah malam, orang ramai berdiri di balkoni, beberapa orang menjerit serangan yang ditujukan kepada Presiden Rusia Vladimir Putin dan slogan "Kemuliaan kepada pertahanan udara".

Moscow telah memperhebatkan serangan peluru berpandu dan dron bulan ini selepas hampir dua bulan menyasarkan kemudahan dan bekalan tentera. Serangan kini terjadi beberapa kali dalam tempoh seminggu.

"Di daerah Holosiivskyi, yang terletak di bahagian barat daya Kiev, serpihan dron menyebabkan sebuah gudang tiga tingkat terbakar, memusnahkan kira-kira 1,000 meter persegi (10,800 kaki persegi) struktur bangunan", kata Datuk Bandar Klitschko.

Serpihan dron menyebabkan berlakunya kebakaran bangunan tujuh tingkat di daerah Solomyanskyi di barat bandar itu. Daerah ini merupakan hab pengangkutan rel dan udara yang sibuk.

Selain itu, ia turut memusnahkan sebuah bangunan sembilan di daerah Pecherskyi.- REUTERS

Media Baharu