fb fb fb fb fb

Rusia lancar serangan besar-besaran, Ukraine nafi dua kampung jatuh ke tangan Moscow

Imej oleh Kementerian Pertahanan Rusia menunjukkan sekumpulan askar negara itu mengibarkan bendera selepas didakwa menawan penempatan Zaporizke di wilayah Dnipropetrovsk, Ukraine / REUTERS

MOSCOW 27 Ogos - Rusia pada Selasa mendakwa tenteranya melancarkan serangan ke atas Ukraine dari pelbagai arah sementara Ukraine menafikan dua buah kampung berjaya ditawan Moscow.

Kementerian Pertahanan Rusia dalam kenyataan memaklumkan, dalam tempoh 24 jam lalu, tenteranya menyerang 142 lokasi termasuk pusat kawalan dan pelancaran dron, lokasi penempatan sementara tentera Ukraine serta kumpulan tentera upahan asing.

Serangan itu turut memusnahkan kereta kebal, artileri, beberapa stesen peperangan elektronik dan gudang bekalan.

Pasukan pertahanan udara Rusia pula dilaporkan berjaya menembak jatuh enam bom berpandu udara Ukraine, satu peluru berpandu jarak jauh Neptune serta 191 dron.

Sementara itu, Ketua Turus Angkatan Tentera Ukraine memaklumkan pasukan khas mereka melancarkan operasi di Crimea yang berjaya melumpuhkan kemudahan logistik tentera Rusia bagi bekalan peperangan.

Laporan itu turut menolak dakwaan bahawa kampung Zaporozhye dan Novohryhorivka di wilayah Dnepropetrovsk telah jatuh ke tangan Rusia, sebaliknya menegaskan pasukan Ukraine berjaya mengekang kemaraan tentera Moscow dan pertempuran masih berterusan.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE