GAZA, 27 Ogos – Beberapa letupan menggegarkan Gaza awal Rabu dengan pancaran cahaya terang menerangi langit malam, ketika Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dijadual mempengerusikan mesyuarat mengenai Gaza di White House.
Utusan khas Amerika Syarikat, Steve Witkoff pada Selasa berkata, Trump akan mempengerusikan mesyuarat berkenaan pada Rabu, sambil menambah Washington menjangkakan perang Israel di wilayah Palestin itu akan diselesaikan menjelang akhir tahun ini.
Dalam kenyataan berasingan, Jabatan Negara Amerika Syarikat memaklumkan Setiausaha Negara, Marco Rubio akan bertemu Menteri Luar Israel, Gideon Saar di Washington pada Rabu, dengan mesyuarat dijadual berlangsung di Jabatan Negara pada pukul 3.15 petang waktu tempatan.
Sejak serangan Israel ke atas Gaza bermula pada Oktober 2023, lebih 62,000 penduduk Palestin terbunuh menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.
Serangan itu turut mencetuskan krisis kebuluran, menyebabkan keseluruhan penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan membawa kepada genosid serta jenayah perang di mahkamah antarabangsa yang bagaimanapun dinafikan Israel.-REUTERS