KASUR, 27 Ogos – Penduduk bersama barangan dan ternakan mereka dipindahkan di daerah Kasur, timur Pakistan pada Selasa, ketika negara itu berdepan bahaya banjir pada tahap “sangat tinggi hingga luar biasa” akibat hujan lebat serta tindakan India melepaskan air dari dua empangan.
India dan Pakistan, dua negara jiran yang lama berseteru, sebelum ini dilanda hujan monsun lebat serta banjir dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Pelepasan lebihan air dari empangan India dijangka memburukkan lagi keadaan di wilayah Punjab, Pakistan, yang merupakan ‘gedung makanan’ negara itu dan menempatkan separuh daripada 240 juta penduduknya.
Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Wilayah Pakistan memaklumkan pada Selasa bahawa India telah membuka semua pintu Empangan Thein di Sungai Ravi. Bagaimanapun, Kementerian Sumber Air India masih belum memberikan sebarang maklum balas.
Pakistan mula melaksanakan pemindahan paksa sejak Jumaat, dengan angka penduduk terjejas di Punjab kini melebihi 150,000 orang termasuk hampir 35,000 yang berpindah secara sukarela selepas amaran banjir dikeluarkan sejak 14 Ogos lalu.-REUTERS