fb fb fb fb fb

PBB tuntut siasatan bebas kematian wartawan di Gaza

FOTO REUTERS

GENEVA, 27 Ogos – Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa menggesa supaya pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan berhubung kematian wartawan di Gaza.

Sekurang-kurangnya 20 penduduk Palestin termasuk lima wartawan terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas Hospital Nasser di Khan Younis, selatan Gaza, pada Isnin, menurut kenyataan pihak berkuasa kesihatan Gaza.

Jurucakap pejabat berkenaan menegaskan serangan terhadap wartawan adalah tidak boleh diterima, dengan sekurang-kurangnya 247 wartawan Palestin terbunuh sejak 7 Oktober 2023.

“Ini satu kejutan dan sama sekali tidak boleh diterima. Tentera Israel telah mengumumkan siasatan akan dijalankan, namun insiden ini serta pembunuhan semua orang awam, termasuk wartawan, mesti disiasat secara menyeluruh dan bebas, dan keadilan mesti ditegakkan,” katanya.

Kecaman turut disuarakan oleh pemimpin dunia dan pertubuhan antarabangsa.

Jurucakap Hal Ehwal Luar Kesatuan Eropah, Anouar El Anouni, menyifatkan serangan Israel ke atas Hospital Nasser sebagai tidak boleh diterima, sambil menggesa Israel mematuhi undang-undang antarabangsa serta menjamin keselamatan orang awam dan wartawan.

Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini, pula menegaskan serangan itu “telah membungkam suara terakhir yang melaporkan tentang kematian kanak-kanak akibat kebuluran di Gaza.”

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam kenyataan berasingan menekankan bahawa serangan berterusan ke atas fasiliti kesihatan di Gaza mesti dihentikan, kerana ia menambah parah keadaan rakyat Palestin yang sedang berdepan kebuluran dan kekurangan perkhidmatan perubatan.

Kementerian Luar Negeri Qatar menyifatkan serangan itu sebagai pencabulan terang-terangan undang-undang antarabangsa, manakala Mesir pula menegaskan ia bukti terbaru pelanggaran undang-undang kemanusiaan oleh Israel, sekali gus mendesak Majlis Keselamatan PBB dan masyarakat antarabangsa melaksanakan tindakan segera.

Negara lain termasuk Iran, Jordan, Turkiye dan Jerman turut mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan ketenteraan Israel ke atas orang awam di Gaza.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE