fb fb fb fb fb

EU tegaskan hak kedaulatan kawal aktiviti ekonomi, termasuk firma teknologi besar

FOTO REUTERS

BRUSSELS, 27 Ogos – Kesatuan Eropah (EU) menegaskan pada Selasa bahawa mengawal selia aktiviti ekonomi, termasuk peraturan melibatkan firma teknologi utama, adalah hak kedaulatan blok itu.

“Adalah hak kedaulatan EU dan negara anggotanya untuk mengawal aktiviti ekonomi di wilayah kami, selaras dengan nilai-nilai demokratik kami,” kata Ketua Jurucakap Suruhanjaya Eropah, Paula Pinho, pada sidang akhbar.

Pinho menjelaskan isu berkenaan tidak berkaitan dengan perjanjian rangka kerja terbaharu EU dengan Amerika Syarikat, sambil menyifatkan ia sebagai “dua perkara berasingan”.

Jurucakap teknologi EU, Thomas Regnier, pula menolak kritikan bahawa undang-undang digital EU mensasarkan firma A.S., dengan menegaskan Akta Perkhidmatan Digital dan Akta Pasaran Digital diguna pakai secara menyeluruh.

April lalu, Suruhanjaya Eropah mengenakan denda sebanyak 500 juta euro terhadap Apple Inc. dan 200 juta euro ke atas Meta kerana melanggar Akta Pasaran Digital, denda pertama sejak undang-undang itu dikuatkuasakan.

Sementara itu, Presiden A.S. Donald Trump dalam hantaran di media sosial memberi amaran bahawa semua negara yang melaksanakan peraturan digital atau cukai digital terhadap syarikat A.S. perlu menarik balik langkah “diskriminasi” tersebut, atau berdepan tarif tinggi tambahan dan sekatan eksport produk berteknologi tinggi termasuk cip.- REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE