fb fb fb fb fb

Lisa Cook bakal saman Trump

Lisa Cook / REUTERS

WASHINGTON, 27 Ogos - Gabenor Rizab Persekutuan, Lisa Cook akan memfailkan saman berhubung arahan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang memecatnya daripada jawatan tersebut.

Perkara itu disahkan peguamnya, Abbe Lowell yang menyifatkan tindakan Trump sebagai tidak sah di sisi undang-undang.

“Cubaan beliau untuk memecat anak guam saya hanya berasaskan sepucuk surat rujukan tanpa sebarang asas fakta atau peruntukan undang-undang. Kami akan memfailkan saman bagi mencabar tindakan haram ini,” katanya dalam kenyataan Selasa.

Trump pada Isnin mengumumkan pemecatan Cook atas dakwaan penipuan gadai janji. Dalam surat yang dimuat naik ke laman Truth Social, beliau berkata tindakan itu dibuat selaras dengan kuasa yang diberikan di bawah Perlembagaan Amerika Syarikat dan Akta Rizab Persekutuan 1913.

Namun, Cook menegaskan Trump tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

“Presiden Trump mendakwa memecat saya atas alasan ‘bersebab’, sedangkan tiada sebab yang sah di sisi undang-undang. Saya tidak akan meletak jawatan,” katanya dalam kenyataan berasingan pada Isnin.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE