MOSCOW, 19 Oktober- Rusia telah menghantar 27 tan bantuan kemanusiaan untuk orang awam di Semenanjung Gaza.
Kementerian Situasi Kecemasan Moscow berkata bantuan tersebut akan dihantar menerusi pintu masuk Mesir.
Sebuah pesawat khas telah berlepas dari lapangan terbang di Ramenskoye, Moscow untuk ke El-Arish di Mesir bagi tujuan berkenaan.
"Bantuan kemanusiaan Rusia akan diserahkan kepada Bulan Sabit Merah Mesir untuk dihantar ke Semenanjung Gaza.
"Bantuan tersebut terdiri daripada gandum, gula, beras dan pasta," kata Kementerian Situasi Kecemasan Moscow menerusi kenyataan.
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden pada Rabu mengumumkan perjanjiannya untuk membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza selepas perbincangan dibuat bersama Israel dan Mesir.
Biden berkata bilangan trak terhad akan dibenarkan menyeberangi persimpangan Rafah yang ditutup dari Mesir ke Gaza mulai Jumaat. - AFP
>
>