MOSCOW, 16 Oktober- Rusia menggantung semua import makanan laut Jepun berikutan pelepasan air sisa Tokyo dari loji nuklear Fukushima.
Sebuah Badan Jawatankuasa yang bertanggungjawab untuk mengawal selia produk pertanian Rusia, Rosselkhoznadzor berkata, negara republik itu menyertai langkah sekatan sementara China terhadap import ikan dan produk makanan laut dari Jepun, hari ini sebagai langkah berjaga-jaga.
Katanya, sekatan itu kekal sehingga maklumat lengkap yang diperlukan untuk mengesahkan keselamatan hasil makanan laut akan datang.
Sejak hujung Ogos lalu, China telah mengharamkan semua import makanan laut Jepun atas apa yang disifatkan sebagai pelepasan air sisa Fukushima yang disifatkan mementingkan diri sendiri dan tidak bertanggungjawab.
Pada 24 Ogos lalu, Jepun memulakan fasa pelepasan pertama air tercemar yang dirawat dari loji yang terjejas ke Lautan Pasifik dalam operasi yang dikatakan selamat dan memulakan fasa kedua pada 5 Oktober.
Menurut data kastam, tindakan itu telah mencetuskan tindak balas daripada jiran, diketuai oleh China, yang mengimport lebih daripada AS$500 juta makanan laut dari Jepun, tahun lalu.
Pada 2011, tiga reaktor di Fukushima-Daiichi di timur laut Jepun mengalami kemusnahan akibat gempa bumi dan tsunami besar yang mengorbankan kira-kira 18,000 orang.
Pembebasan air sisa itu dianggap selamat oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa.
Bagaimanapun Beijing mendakwa Tokyo belum membuktikan ketulenan dan ketepatan data air sisa nuklear, atau sama ada pelepasan air laut tidak berbahaya kepada persekitaran marin dan kesihatan manusia.