fb fb fb fb fb

Mahkamah Indonesia tolak petisyen turun had minimum umur calon presiden, naib presiden

(FOTO HIASAN/ REUTERS)

JAKARTA, 16 Oktober- Mahkamah Perlembagaan Indonesia hari ini, menolak petisyen yang menuntut usia minimum bagi calon presiden dan naib presiden, diturunkan kepada 35 tahun.

Ia sekali gus mengekalkan syarat kelayakan itu pada usia 40 tahun.

Menerusi keputusan mahkamah itu, ia sekali gus menutup peluang kepada anak sulung Presiden Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi, yang berusia 36 tahun untuk bertanding naib presiden tahun depan.

Ketua Hakim Negara, Anwar Usman, yang juga abang ipar Jokowi, mengetuai panel membabitkan sembilan hakim, dan menetapkan untuk menolak petisyen bagi menurunkan usia minimum kepada 35 daripada 40 tahun.

Menurut barisan hakim, penetapan had usia adalah di bawah kuasa ahli Parlimen dan dan petisyen itu tidak mempunyai 'alasan mengikut undang-undang'.

Petisyen itu akan membenarkan anak Jokowi dan Datuk Bandar Surakarta, Gibran Rakabuming Raka bertanding dalam pilihan raya depan, jika ia diluluskan.

rtm

(Calon Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP), Ganjar Pranowo dengan Presiden Indonesia,
Joko Widodo pada mesyuarat pilihan raya presiden 2024 parti itu di Jakarta/ REUTERS)

Sehingga kini, Gibran masih belum memberikan sebarang maklum balas ketika dihubungi.

Keputusan itu dibuat pada saat kritikan semakin hebat berhubung dakwaan wujudnya usaha presiden untuk membina dinasti politik dan mengekalkan pengaruh jawatan, susulan penggal kepemimpinannya yang bakal tamat, tahun hadapan.

Indonesia akan mengadakan pilihan raya presiden dan perundangan secara serentak, 14 Februari depan.

Minggu lalu, Jokowi menepis soalan mengenai kritikan yang semakin hebat bahawa beliau sedang membina dinasti politik.

Beliau sebaliknya menegaskan pemilihan pemimpin harus diserahkan kepada rakyat.

Calon presiden dijangka menghantar nama masing-masing dengan Suruhanjaya Pilihan Raya antara 19 hingga 25 Oktober ini.- REUTERS

Media Baharu