(Volodymyr Zelensky/REUTERS)
KIEV, 7 April - Rusia didakwa menyekat akses kemanusiaan ke Mariupol kerana mahu menyembunyikan bukti pembunuhan ribuan orang di bandar terkepung itu, kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.
"Sebab mengapa kita tidak boleh masuk ke Mariupol dengan kargo kemanusiaan adalah kerana mereka (Moscow) takut bahawa dunia akan melihat apa yang berlaku di sana.
"Saya fikir ia adalah satu tragedi, bukan berpuluh tetapi beribu-ribu orang yang telah terbunuh dan juga cedera," kata Zelensky kepada TV Haberturk Turki.
Bagaimanapun Zelensky yakin, Rusia tidak akan berjaya menyembunyikan semua bukti.
"Mereka tidak akan dapat menyembunyikan perkara ini. Mustahil untuk berbuat demikian kerana melibatkan ribuan mayat dan mangsa yang cedera," katanya.
(Imej satelit Maxar menunjukkan kebakaran dan kerosakan bangunan di Mariupol/AFP)
Ditanya mengenai meneruskan rundingan damai dengan Rusia, beliau berkata "perkara itu perlu juga berlaku".
"Saya fikir sukar untuk menghentikan perang ini tanpanya," kata Zelensky.
Tetapi beliau menambah mempunyai masa yang sukar untuk meneruskan perbincangan dengan Moscow kerana "memahami dengan siapa mereka berurusan".-AFP