fb fb fb fb fb

Jerman kekal arahan kuarantin wajib pesakit COVID-19

(FOTO REUTERS)

BERLIN, 7 April - Jerman menarik balik cadangan untuk menamatkan kuarantin wajib ke atas individu yang didapati positif COVID-19.

Menteri Kesihatannya, Karl Lauterbach mengakui cadangan menamatkan kuarantin wajib bermula 1 Mei yang dibuat sebelum ini adalah satu kesilapan.

"COVID-19 bukan sekadar selsema. Jadi pengasingan diri perlu diteruskan selepas dijangkiti selain patuh arahan dan mendapat pemeriksaan daripada pihak kesihatan," katanya dalam ciapan di Twitter.

(Karl Lauterbach/AFP)

Menurut peraturan sedia ada, individu dijangkiti COVID-19 perlu mengasingkan diri sekurang-kurangnya tujuh hari.

Jika cadangan menamatkan kuarantin diteruskan, ia dikhuatiri menyebabkan rakyat berfikir pandemik telah tamat.

Bilangan kes menurun di Jerman minggu lalu dan terbaharu 214,985 kes dicatat semalam.

Kebanyakan kes hanya bergejala ringan dan hospital tidak mengalami kepadatan pesakit.

Ini menyebabkan ekonomi terbesar Eropah melonggarkan sekatan beberapa minggu kebelakangan ini termasuk menarik balik arahan pemakaian pelitup separuh muka di kedai dan sekolah.

Memandangkan cadangan wajib vaksinasi bagi individu lebih 18 tahun dijangka tidak mendapat sokongan majoriti di Parlimen, kerajaan sedang berunding mewajibkan vaksinasi kepada rakyat berusia lebih 60 tahun.

Lauterbach optimis keputusan mengenainya akan dicapai esok.

Media Baharu