fb fb fb fb fb

Pesakit COVID-19 berdepan risiko alami darah beku

PARIS, 7 April - Individu yang pernah dijangkiti COVID-19 mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami darah beku yang serius sehingga enam bulan selepas dijangkiti, walaupun mengalami gejala ringan, menurut kajian terbaharu yang diterbitkan dalam jurnal perubatan BMJ.

Kajian sebelum ini menunjukkan bahawa COVID-19 meningkatkan risiko darah beku, tetapi kajian terbaharu dalam jurnal perubatan BMJ menunjukkan berapa lama ancaman itu boleh berlarutan.

Penyelidik membandingkan data daripada lebih 1 juta orang di Sweden yang dijangkiti COVID-19 mulai Februari 2020 hingga Mei 2021, dengan lebih 4 juta orang kumpulan mereka yang diuji negatif.

Kajian mendapati bahawa individu yang menghidap COVID-19 mempunyai risiko embolisme pulmonari lebih tinggi, pembekuan darah yang menyekat arteri dalam paru-paru, sehingga enam bulan selepas mendapat jangkitan tersebut.

Kajian itu juga mendapati pesakit COVID-19 berisiko tinggi mengalami pembekuan darah pada urat dalam biasanya di bahagian kaki sehingga tiga bulan selepas dijangkiti COVID-19.

Berdasarkan kajian yang disesuaikan dengan pelbagai faktor, mereka mendapati peningkatan 33 kali ganda dalam risiko embolisme pulmonari bagi mereka yang mempunyai COVID-19, serta peningkatan lima kali ganda untuk trombosis urat dalam.

(FOTO Hiasan)

"Selain itu, orang yang mengalami gejala teruk COVID-19 dan gejala ringan juga berdepan dengan risiko tersebut", menurut kajian itu.

"Tetapi orang yang mengalami gejala ringan, yang tidak memerlukan kemasukan ke hospital juga berisiko mengalami emboli pulmonari dan trombosis urat dalam.

"Pembekuan adalah lebih tinggi semasa gelombang pertama pandemik berbanding selepas itu, menurut penyelidik adalah disebabkan oleh pengambilan vaksin dan rawatan yang lebih baik dari semasa ke semasa.

Penyelidik berkata penemuan mereka mempunyai "implikasi dasar utama", menggesa lebih banyak rawatan lanjut untuk mencegah pembekuan darah daripada berkembang, terutamanya dalam kes berisiko yang tinggi.

Mereka juga menekankan kepentingan pengambilan vaksinasi.

Dalam editorial yang berkaitan, penyelidik dari Universiti Glasgow yang tidak terlibat dalam kajian itu berkata ia "memberi peringatan kepada kita tentang keperluan untuk terus berwaspada terhadap komplikasi yang dikaitkan dengan jangkitan SARS-CoV-2 yang ringan".- AFP

Media Baharu