(Anggota polis mengangkat beg mayat ke dalam kenderaan di bandar Bucha/AFP)
WASHINGTON, 7 April - Pembunuhan beramai-ramai penduduk awam Ukraine di bandar Bucha merupakan jenayah perang, tegas Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.
Ketika berucap dalam majlis bersama kesatuan buruh, beliau turut menggambarkan keadaan ngeri dan tidak berperikemanusiaan di lokasi kejadian.
"Orang awam dibunuh dengan kejam dan mayat dibuang dalam kubur-kubur besar.
"Ada juga yang dibiarkan di jalan raya dengan sesetengahnya mempunyai kesan tembakan di kepala," katanya.
(Joe Biden/AFP)
Biden membuat kenyataan itu ketika kemarahan global meningkat selepas gambar banyak mayat bergelimpangan di jalan-jalan di Bucha dan dibuang ke dalam kubur besar tersebar di seluruh dunia.
Peguam Negara Amerika Syarikat, Merrick Garland berkata Jabatan Kehakiman sedang membantu usaha antarabangsa mengenal pasti serta mengumpul bukti bagi mengheret pihak yang melakukan kekejaman di Ukraine ke muka pengadilan.
"Kami berada di peringkat pengumpulan bukti dan itulah yang kami lakukan," kata Garland.-AFP