fb fb fb fb fb

Rusia bayar bon dalam mata wang rubel

MOSCOW, 7 April - Rusia kini terpaksa membuat pembayaran hutang bon asing berdenominasi dolar dalam mata wang rubel berikutan sekatan antarabangsa.

Kementerian Kewangan Rusia menerusi kenyataan berkata, ia telah dipaksa membayar balik AS$649.2 juta kepada pemegang hutang asing dalam rubel selepas bank asing enggan melaksanakan arahan pembayaran.

(Foto Google)

"Sebuah bank koresponden asing enggan melaksanakan arahan untuk pembayaran hutang bagi dua bon Euro pada 4 April.

"Untuk memenuhi kewajipan hutang negara, Persekutuan Rusia terpaksa meminta institusi kewangan Rusia untuk membuat pembayaran yang diperlukan," menurut kenyataan itu.

Amerika Syarikat mulai Isnin lepas menghalang Rusia daripada membuat pembayaran hutang menggunakan dana yang disimpan di bank-bank Amerika.

Terdahulu, agensi-agensi penarafan telah menurunkan taraf kredit Rusia.

"Jika Rusia cuba memindahkan bayaran dalam rubel melalui prosedur pembayaran khas untuk bon yang tidak mempunyai klausa pembayaran balik rubel, ini merupakan perbuatan ingkar pembayaran hutang," kata Timbalan Ketua Ekonomis di Institut Kewangan Antarabangsa, Elina Ribakova.

Kuasa Barat telah mengenakan pelbagai sekatan ekonomi dan kewangan sejak Rusia melancar operasi yang dinamakannya operasi khas ketenteraan di Ukraine pada 24 Februari. -AFP

Media Baharu