fb fb fb fb fb

Runtuhan salji di Tajikistan, angka kematian meningkat kepada 19 orang

(Foto Reuters)

DUSHANBE, 20 Februari- Angka kematian akibat runtuhan salji yang melanda Tajikistan beberapa hari lalu, meningkat kepada 19 orang.

Demikian menurut pihak berkuasa, pada Isnin.

"Dari 15 Februari hingga 19 Februari, 200 runtuhan salji, tujuh tanah runtuh dan enam runtuhan batu direkodkan," kata perkhidmatan kecemasan dalam satu kenyataan.

"19 daripada rakyat kita kehilangan nyawa mereka dalam runtuhan itu," tambahnya.

(Kawasan yang terjejas dengan runtuhan salji di wilayah
Gorno-Badakhshan, Tajikistan pada 15 Februari 2023/Foto Reuters)

Tajikistan, negara bekas Soviet termiskin di Asia Tengah, sering kali terdedah dengan bencana alam.

Hampir semua mangsa tinggal di Upper Badakhshan (juga dikenali Gorno Badakhshan), sebuah wilayah autonomi bersempadan dengan Afghanistan, China dan Kyrgyzstan yang dikelilingi Pergunungan Pamir, dengan puncak melebihi 7,000 meter.

Wilayah terpencil yang mewakili kira-kira separuh daripada wilayah Tajik, menempatkan hanya dua peratus daripada 9.5 juta penduduk negara itu.

Presiden Emomali Rahmon, yang berkuasa selama tiga dekad, telah menerima ucapan takziah daripada pemimpin negara bekas Soviet, serta daripada Vladimir Putin dari Rusia dan Presiden Iran Ebrahim Raisi.-AFP

Media Baharu