fb fb fb fb fb

Runtuhan bangunan di Jordan, bayi empat bulan terselamat

(Israa Raed/Foto AFP)

AMMAN, 16 September- Seorang ibu, Israa Raed syukur dan gembira apabila pasukan penyelamat berjaya menyelamatkan bayi perempuannya dalam runtuhan bangunan kediaman empat tingkat, di ibu negara Jordan.

Malak, berusia empat bulan selamat dan berjaya dibawa keluar dari kawasan runtuhan selepas terperangkap lebih 24 jam.

"Saya tahu itu dia dengan baju tidur merah jambunya," kata Israa Raed, 26, kepada AFP, selepas menunggu lebih 24 jam untuk mengetahui berita mengenai anak perempuan tunggalnya.

"Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata betapa gembiranya saya...bersyukur kepada Tuhan dia selamat," katanya.

Beratus-ratus pasukan penyelamat melakukan misi mencari dan menyelamat di tapak bangunan kediaman yang terletak di daerah Jabal al-Weibdeh, salah satu kawasan kejiranan tertua di Amman, sejak ia runtuh, pada Selasa.

Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh, kata pihak berkuasa, tetapi kelangsungan hidup Malak, memberikan sedikit kelegaan bagi ramai rakyat Jordan yang menyaksikan bencana itu berlaku.

Rakaman video yang dikongsi perkhidmatan pertahanan awam menunjukkan pasukan penyelamat mengeluarkan gadis kecil itu, pada Rabu dari celah sempit di dalam serpihan. Dia hanya mengalami lebam kecil.

"Doktor menyatakan adalah satu keajaiban bagi anak perempuan saya untuk keluar dengan selamat dari bawah runtuhan," tambah Raed, di luar Hospital Luzmila, tempat Malak ditahan bagi pemerhatian.

"Saya mempunyai firasat bahawa dia masih hidup dan suami telah meyakinkan saya bahawa dia sedang menunggu kami," katanya.

(Foto AFP)

Raed, yang menjual minyak wangi dan alat solek memberitahu, anaknya itu ditinggalkan dengan seorang rakan yang tinggal di ruang bawah tanah bangunan itu untuk menghantar pesanan.

"Saya tidak tinggal di sana. Kawan tinggal di sana dan saya tinggalkan bayi perempuan saya bersamanya.

"Selepas kira-kira sejam, saya mendapat panggilan telefon memberitahu anak perempuan saya terjatuh.

"Saya mula berlari seperti orang gila. Saya fikir dia mungkin terjatuh dari katil, tetapi apabila saya tiba, saya lihat seluruh bangunan runtuh menimpa anak perempuan saya."

"Saya mula menjerit, 'Di mana bayi saya? Di mana bayi saya?," jelas Raed.

Lebih 24 jam kemudian, pasukan penyelamat memberitahu mereka mendengar tangisan bayi" katanya.

Hussam Abboud, seorang anggota penyelamat berusia 50 tahun, berkata ia adalah satu keajaiban Malak dapat keluar dalam keadaan masih hidup.

Malak tidak cedera parah dalam runtuhan itu dan "lubang kecil" dalam konkrit membolehkannya terus bernafas.

Di samping kegembiraan atas kelangsungan hidup bayinya, Raed berasa sedih, kerana rakan dan anak perempuannya terkorban.

Sementara itu, seorang lagi ibu, yang keluar membeli-belah ketika runtuhan berlaku, kehilangan tiga anak berusia 17, 12 dan sembilan tahun.-AFP

Media Baharu