fb fb fb fb fb

134 maut, ribuan rumah musnah akibat banjir di Sudan

KHARTOUM, 16 September- Sekurang-kurangnya 134 orang terkorban dan puluhan ribu rumah musnah dalam kejadian banjir dan hujan berterusan di negara timur laut Afrika, Sudan.

Hujan lebat biasanya berlaku antara Mei dan Oktober menyebabkan banjir teruk setiap tahun serta memusnahkan harta benda, infrastruktur dan tanaman.

Majlis Kebangsaan bagi Pertahanan Awam berkata banjir telah mengorbankan sejumlah 134 orang serta menyebabkan 120 yang lain cedera, dan merosakkan atau memusnahkan lebih 128,000 rumah.

Air boleh dilihat membanjiri kampung dan jalan raya dalam rakaman banjir yang disiarkan menerusi televisyen kerajaan.

Penduduk terjejas berlindung di bawah khemah sementara yang diperbuat daripada kain lusuh selepas banjir menghanyutkan rumah mereka

Bulan lalu, kerajaan mengisytiharkan darurat akibat banjir di enam daripada 18 negeri di Sudan.

Jumlah kematian pada musim ini telah meningkat daripada 112 yang diberikan awal bulan ini. Angka terkini, jumlah kematian tertinggi berlaku di negeri tengah Kordofan Utara, manakala angka rumah musnah paling banyak di selatan negeri White Nile.

Punca utama kematian ialah rumah runtuh, lemas dan renjatan elektrik.


(Kemusnahan yang berlakuĀ selepas hujan lebat di Kampung Aboud, El-Manaqil, Sudan/AFP)

Agensi berita rasmi SUNA berkata, sebuah hospital mengalami kerosakan teruk akibat banjir di sebuah kampung di negeri timur Kassala.

"Tandas runtuh, dan pintu serta tingkap dipecahkan di hospital Um Gargour," kata SUNA.

"Kampung itu kini dikelilingi air yang mengancam keruntuhan lebih banyak rumah dan kemudahan".

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata minggu ini bahawa banjir setakat ini telah menjejaskan 286,400 orang.

Negeri timur Gedaref dan Kassala, negeri Kordofan Utara dan Selatan, negeri Sungai Nil, dan wilayah Darfur adalah antara yang paling teruk terjejas, menurut agensi kanak-kanak PBB, UNICEF.

PBB telah memberi amaran bahawa banjir tahun ini boleh menjejaskan sehingga 460,000 orang, jauh lebih tinggi daripada purata 388,600 orang terjejas setiap tahun antara 2017 dan 2021.

Bencana itu berlaku ketika Sudan bergelut akibat pergolakan politik dan krisis ekonomi yang semakin meruncing yang diburukkan lagi oleh rampasan kuasa tentera tahun lalu yang diketuai oleh ketua tentera Abdel Fattah al-Burhan.-AFP

Media Baharu