SINGAPURA, 9 Ogos – Lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Singapura hari ini memberi fokus kepada pengukuhan hubungan dua hala dan meneroka bidang kerjasama baharu antara kedua-dua negara.
Dalam satu kenyataan, beliau memaklumkan pertemuan bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri, Gan Kim Yong membincangkan pelbagai projek strategik yang berpotensi meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di Malaysia.
“Kami turut membincangkan kerjasama baharu dalam sektor pelancongan, TVET dan memperkukuh hubungan sebagai asas persefahaman jangka panjang,” katanya dalam kenyataan sama.
Tambah beliau, kedua-dua negara juga memperhalusi perbincangan untuk berkongsi amalan terbaik dalam memperkasa undang-undang berkaitan ekonomi gig.
Ini termasuk aspek perundangan dan dasar, bagi memastikan kebajikan serta perlindungan pekerja gig sentiasa terjamin.
“Dalam konteks ini, saya turut berkongsi inisiatif Malaysia dalam menyokong pekerja gig melalui perlindungan sosial dan dasar progresif, sebagai sebahagian daripada usaha membina ekonomi digital yang berdaya saing,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan kepentingan memanfaatkan potensi pasaran besar ASEAN untuk meningkatkan perdagangan dua hala, selain mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab halal utama rantau ini, disokong oleh infrastruktur taman perindustrian halal dan pensijilan bertaraf dunia.
Singapura pula memaklumkan telah menghantar tenaga pengajar TVET ke Malaysia, sejajar dengan komitmen bersama memperkukuh kualiti dan ekosistem pendidikan teknikal dan vokasional.
Dalam konteks Kepengerusian ASEAN, kedua-dua pemimpin Singapura menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan Malaysia dalam membendung krisis di sempadan Thailand–Kemboja, sekali gus mengangkat peranan aktif negara dalam memastikan keamanan dan kestabilan serantau.