ANKARA, 24 Februari- Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan menyokong inisiatif Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan konflik antara Ukraine-Rusia sambil menegaskan bahawa perbincangan harus melibatkan kedua-dua negara bertelagah itu.
Moscow dan Washington telah memulakan dialog secara langsung dalam beberapa minggu ini bersandarkan hubungan rapat antara Presiden AS yang baharu Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin.
"Kami mementingkan inisiatif baharu AS sebagai pendekatan berorientasikan hasil. Kami percaya bahawa penyelesaian boleh dicapai melalui rundingan di mana kedua-dua pihak mengambil bahagian," kata Hakan Fidan dalam sidang media dengan rakan sejawatnya dari Rusia Sergei Lavrov di sini.
Lawatan Lavrov ke Turkiye diadakan seminggu selepas lawatan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky ke ibu negara Turkiye.
Lavrov memaklumkan Rusia bersedia untuk rundingan mengenai perang Ukraine tetapi hanya akan berhenti berperang apabila penyelesaian damai dilihat "sesuai" dengan Moscow.
"Kami akan menghentikan permusuhan apabila rundingan ini menghasilkan keputusan kukuh dan mampan serta sesuai dengan Persekutuan Rusia," katanya.
Namun pertemuan antara pegawai Rusia dan AS di Arab Saudi dikecam oleh Zelensky, berikutan bimbang persetujuan dicapai tanpa Presiden Ukraine itu.
Fidan turut memaklumkan bahawa Turkiye bersedia untuk mengambil sebarang langkah yang akan membantu membawa keamanan antara Ukraine dan Rusia.
"Turkiye sentiasa bersedia memainkan peranan sebagai pemudah cara atau mempercepatkan rundingan... Matlamat kami adalah untuk menamatkan perang dahsyat ini secepat mungkin dan dalam usaha pemulihan kedua-dua rantau ini," katanya.- AFP