fb fb fb fb fb

Liwat, dua pelajar universiti dihukum sebat secara terbuka

Seorang lelaki warga Indonesia dirotan secara terbuka pada 23 Mei 2017 kerana melakukan hubungan sejenis di Banda Aceh/ Foto fail Reuters

BANDA ACEH, 24 Februari- Sebuah mahkamah di wilayah Aceh menjatuhi hukuman sebat secara terbuka ke atas dua lelaki pelajar universiti selepas mengaku bersalah melakukan hubungan sejenis, kata seorang pegawai.

Walaupun seks sejenis tidak menyalahi undang-undang di sebahagian lain di Indonesia, namun perlakuan tersebut haram di wilayah Aceh yang mengenakan undang-undang Islam.

Pada November lalu, penduduk tempatan menyerbu sebuah bilik sewa di ibu kota wilayah Banda Aceh dan menemui dua lelaki berkenaan yang juga merupakan pelajar di sebuah universiti tempatan disyaki melakukan hubungan sejenis. Kedua-duanya didakwa atas kesalahan jenayah kerana melakukan hubungan sejenis.

"Panel hakim di Mahkamah Syariah Banda Aceh menjatuhi hukuman ke atas kedua-dua lelaki berkenaan yang melakukan liwat," kata Pendakwa Raya di Mahkamah Daerah Banda Aceh, Alfian kepada AFP.

"AI (lelaki pertama) dijatuhi hukuman 85 sebatan, manakala DA (lelaki ke-2) dijatuhi hukuman 80 sebatan."

Suspek pertama dijatuhi hukuman lebih berat kerana menyewa bilik itu dan merupakan orang yang "memulakan perbuatan berkenaan", tambah Alfian.

Hukuman sebat secara terbuka adalah hukuman biasa di Aceh untuk pelbagai kesalahan termasuk perjudian, minum arak dan perzinaan.

Pendakwa raya berkata hukuman sebat boleh dilakukan sebelum atau selepas Ramadan, yang bakal disambut pada Mac.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI