BANGKOK, 24 Februari- Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra telah mengarahkan tindakan keras menyeluruh terhadap rokok elektronik (e-rokok), memberi amaran bahawa mana-mana pegawai yang didapati bersubahat akan berdepan tindakan tegas.
Jurucakap kerajaan Thailand Jirayu Huangsap berkata arahan itu dibuat susulan laporan mengenai penjualan e-rokok yang meluas di seluruh negara.
"Perdana Menteri telah mengarahkan tindakan keras terhadap e-rokok dan menggesa tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pegawai yang terlibat," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman sesawang Kerajaan Diraja Thailand pada Isnin.
Beliau mendedahkan bahawa lebih 3,000 barangan bernilai lebih 2 juta baht telah dirampas semasa serbuan terhadap penjual e-rokok haram di kawasan Kannayao dan Khok Kham, Bangkok, pada Ahad.
"Operasi ini meliputi hanya satu kawasan di bawah Biro Polis Metropolitan, namun banyak vendor haram didapati beroperasi secara terbuka," katanya.
Jirayu mengetengahkan penemuan daripada laporan sulit mengenai perdagangan e-rokok dan rasuah berkaitan. Beliau menyatakan bahawa semua kedai yang diserbu tidak beroperasi secara tersembunyi, sebaliknya beroperasi secara terbuka di tepi jalan dengan paparan yang menarik perhatian, sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana rondaan polis tempatan boleh terlepas pandang aktiviti itu.
"Keadaan ini telah menimbulkan syak wasangka bahawa terdapat pegawai penguat kuasa yang mungkin bersubahat dalam membenarkan kedai-kedai ini beroperasi tanpa kawalan," tambahnya.
Jirayu menyatakan bahawa beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri dan Setiausaha Kabinet awal hari ini, dengan menekankan kurangnya penguatkuasaan terhadap penjualan e-rokok haram di seluruh wilayah.
Beliau turut menyatakan terdapat kedai yang beroperasi berhampiran sekolah, dengan laporan mendakwa pegawai tertentu telah menerima rasuah untuk "menutup mata" terhadap aktiviti itu.
"Di kawasan di mana tangkapan dilakukan oleh agensi lain, polis tempatan mesti disiasat bagi menentukan sama ada kecuaian atau rasuah menjadi punca keadaan ini, sama seperti kes perjudian haram yang ditemui dalam bidang kuasa mereka.
"Saya sudah melaporkan perkara ini kepada Polis Diraja Thailand. Jika pegawai atasan gagal mengambil tindakan, masalah ini akan terus berlarutan. Situasi ini semakin serius apabila dadah berbahaya dicampurkan ke dalam e-rokok, mengakibatkan kematian dalam kalangan belia. Lebih membimbangkan, purata usia pengguna semakin menurun, dengan ada yang seawal usia 14 tahun sudah mula menggunakan e-rokok," tegas Jirayu.
Jirayu turut mencadangkan agar Perdana Menteri menubuhkan pasukan petugas untuk memerangi e-rokok dan mencadangkan ia dinamakan "Pasukan Petugas Doraemon", merujuk kepada peranti e-rokok yang direka menyerupai Doraemon dan mainan lain yang menarik minat kanak-kanak serta belia.- BERNAMA