fb fb fb fb fb

Pendakwa raya Mauritania mohon bekas presiden dipenjara 20 tahun

Bekas Presiden Mauritania, Mohamed Ould Abdel Aziz disabitkan bersalah atas kesalahan salah guna kuasa dan penyelewengan / AFP

NOUAKCHOTT, 25 Februari- Pendakwa raya Mauritania pada Isnin memohon mahkamah rayuan menjatuhkan hukuman 20 tahun penjara ke atas bekas presiden Mohamed Ould Abdel Aziz atas kesalahan salah guna kuasa dan penyelewengan, bagi meningkatkan hukuman asal lima tahun penjara yang sedang dirayu beliau.

Aziz, yang memimpin Mauritania dari 2008 hingga 2019, disabitkan bersalah pada 2023 kerana menggunakan kedudukannya untuk mengumpul kekayaan secara haram.

Ketua pendakwa raya, Sidi Mohamed Ould Di Ould Moulay, memberitahu mahkamah bahawa Aziz telah "mengubah institusi presiden menjadi pejabat untuk memeras ugut pelabur".

Beliau turut meminta mahkamah membubarkan pertubuhan amal Rahma, yang dikatakan diasaskan oleh anak lelaki Aziz bagi tujuan tidak sah.

Aziz, yang berada dalam tahanan sejak perbicaraan asalnya bermula pada Januari 2023, hadir bersama beberapa bekas pegawai tinggi dan penasihat yang turut berdepan tuduhan salah guna kuasa, pengayaan haram, pengaruh tidak wajar dan pengubahan wang haram.

Aziz menafikan semua pertuduhan. Peguam bela beliau dijadualkan mengemukakan hujah pada Selasa.

Siasatan mendapati Aziz, yang mentadbir negara Afrika Barat Laut itu dengan 4.5 juta penduduk selama lebih sedekad, mengumpul aset dan modal bernilai AS$70 juta sepanjang tempoh pemerintahannya.

Beliau disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman lima tahun penjara pada Disember 2023, sebelum peguamnya memfailkan rayuan.

Aziz, yang berkuasa menerusi rampasan kuasa pada 2008, tidak dibenarkan bertanding dalam pilihan raya presiden 2019 yang dimenangi bekas orang kanannya, Mohamed Ould Cheikh El Ghazouani.

Sejak itu, Aziz berdepan pelbagai kes mahkamah, namun Ghazouani berulang kali menafikan penglibatannya dalam keputusan untuk mendakwa bekas ketuanya itu.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE