fb fb fb fb fb

17 termasuk kanak-kanak dan polis cedera dalam letupan bom di Colombia

Lokasi kejadian sebuah bom motosikal meletup berhampiran balai polis di Morales, wilayah Cauca, Colombia / AFP

BOGOTA, 25 Februari- Satu serangan bom yang dipercayai berlaku di barat daya Colombia mencederakan 17 orang pada Isnin, termasuk tiga kanak-kanak dan dua anggota polis, kata pihak berkuasa.

Gabenor wilayah Cauca, Octavio Guzman, melaporkan di X bahawa peranti dipercayai bom yang dipasang pada motosikal meletup di luar sebuah balai polis di bandar Morales.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dimasukkan ke hospital dengan kecederaan serius, manakala dua anggota polis turut menerima rawatan.

Colombia kini bergelut menamatkan konflik bersenjata yang telah berlarutan selama enam dekad antara gerila sayap kiri, paramilitari sayap kanan, kartel dadah dan pasukan kerajaan.

Negara Amerika Selatan itu menyaksikan peningkatan keganasan selepas beberapa rundingan damai dengan kumpulan bersenjata gagal, meskipun perjanjian pada 2016 berjaya melucutkan senjata FARC ketika itu gerila terbesar di dunia.

Datuk Bandar Morales, Oscar Yamit Guacheta, memuat naik video di media sosial yang menunjukkan puluhan orang, termasuk pelajar sekolah, melarikan diri selepas letupan kuat itu.

Pihak berkuasa belum mengenal pasti dalang serangan itu, namun kawasan berkenaan diketahui berada bawah kawalan pejuang pemberontak daripada Central General Staff (EMC), kumpulan serpihan FARC yang menolak perjanjian damai.

Pejabat Hak Asasi Manusia PBB pada Isnin memberi amaran bahawa terdapat "perkembangan dan pengukuhan" kumpulan bersenjata di beberapa wilayah Colombia.

Ketegangan dilaporkan meningkat di bahagian timur laut, barat laut dan barat daya negara itu.

Minggu lalu, empat serangan bom di dua bandar berhampiran sempadan Colombia-Venezuela mencederakan enam orang, memaksa pihak berkuasa menguatkuasakan perintah berkurung waktu malam. Serangan itu dipercayai dilakukan oleh gerila ELN.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE