TEHRAN, 28 Mac-Iran telah menghantar membalas surat Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang menyeru negara itu terlibat dalam rundingan nuklear dan memberi amaran tentang kemungkinan tindakan ketenteraan jika Iran menolak, kata Menteri Luar Iran pada Khamis.
"Balasan rasmi termasuk sepucuk surat yang menjelaskan pendirian kami mengenai situasi semasa dan surat Encik Trump," kata Abbas Araghchi kepada agensi berita rasmi IRNA.
Beliau menambah bahawa surat tersebut telah dihantar kepada Oman, yang sebelum ini bertindak sebagai perantara dalam hubungan diplomatik antara AS dan Iran.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, ketika ditanya oleh wartawan dalam penerbangannya ke Caribbean sama ada AS telah menerima surat tersebut, berkata: "Saya tidak akan memberi komen mengenai perkara itu buat masa ini."
Beliau menambah bahawa AS menjangkakan tindak balas dari Iran dan presiden akan memutuskan langkah seterusnya yang akan diambil."
Trump, yang menarik AS keluar daripada perjanjian nuklear Iran pada 2018, kini menyatakan keterbukaannya untuk rundingan diplomatik.
Pada awal Mac, Trump mendedahkan bahawa beliau telah menghantar surat kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Namun, beliau terus menekan Iran melalui dasar "tekanan maksimum", yang merangkumi sekatan tambahan serta ancaman tindakan ketenteraan jika Iran enggan berunding.
"Dasar kami kekal untuk tidak berunding secara langsung dengan Washington di bawah tekanan maksimum dan ancaman ketenteraan, tetapi rundingan tidak langsung, seperti yang pernah berlaku sebelum ini, boleh diteruskan," kata Araghchi.-AFP.