CIUDAD VICTORIA, 28 Mac- Empat anggota tentera Mexico dijatuhi hukuman penjara 40 tahun atas kesalahan membunuh lima orang awam pada tahun 2023 di Nuevo Laredo, sebuah bandar sempadan yang terkenal dengan jenayah dan keganasan berkaitan dadah, menurut keputusan mahkamah pada Khamis.
Mangsa merupakan sekumpulan lelaki muda yang dalam perjalanan pulang dari sebuah kelab malam apabila mereka dikejar oleh pasukan tentera.
Menurut kenyataan tentera, anggota mereka yang sedang melakukan pemantuan terdengar bunyi tembakan dan melihat sebuah trak pikap tanpa lampu atau plat nombor, di mana pemandunya cuba melarikan diri.
Bagaimanapun, Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Nuevo Laredo mendedahkan bahawa seorang kapten tentera mengakui dalam perbicaraan bahawa empat askar tersebut telah melepaskan tembakan tanpa arahan daripada pegawai atasan.
Sementara itu, Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyambut baik hukuman yang dijatuhkan, menyatakan bahawa akauntabiliti terhadap kesalahan sebegini adalah penting untuk menjamin keadilan bagi mangsa serta mencegah kejadian berulang.
Menurut laporan Human Rights Watch, pihak polis, pendakwa raya, dan tentera di Mexico didakwa sering melakukan pelbagai pelanggaran hak asasi manusia, termasuk penyeksaan, penahanan sewenang-wenangnya, dan pembunuhan di luar proses undang-undang.
Laporan World Report 2024 oleh kumpulan advokasi yang berpangkalan di New York itu juga mendedahkan bahawa tentera Mexico telah membunuh 5,488 orang awam dari tahun 2007 hingga Julai 2023, dan kebanyakan kes jarang disiasat secara bebas.-AFP.