PANAMA CITY, 28 Mac-Kerajaan Panama pada Khamis telah memberikan jaminan keselamatan kepada bekas presiden Ricardo Martinelli untuk meninggalkan negara itu, lebih setahun selepas beliau mendapatkan suaka di kedutaan Nicaragua.
Martinelli, yang dijatuhi hukuman hampir 11 tahun penjara pada 2023 atas kesalahan pengubahan wang haram, diberi kebenaran untuk pergi ke Nicaragua, kata Menteri Luar Negeri Javier Martinez-Acha kepada wartawan.
"Laluan selamat diberikan atas sebab kemanusiaan semata-mata kerana ia akan membolehkannya meneruskan pembelaan diri dalam keadaan yang lebih baik berbanding keadaan semasa," katanya.
Martinelli, sekutu kepada Presiden berhaluan kanan Jose Raul Mulino, akan dapat menerima rawatan perubatan yang "akan meningkatkan kualiti hidupnya secara signifikan," kata Martinez-Acha.
Bekas presiden berusia 73 tahun itu, yang memerintah dari 2009 hingga 2014, disabitkan bersalah kerana menggunakan wang awam yang dicuri untuk membeli saham dalam sebuah syarikat penerbitan.
Martinelli, yang mendakwa dirinya menjadi mangsa penganiayaan politik, berlindung di kedutaan Nicaragua pada Februari 2024, sejurus sebelum waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.
Beliau merupakan calon pilihan utama dalam tinjauan untuk memenangi penggal kedua dalam pilihan raya presiden Mei 2024 tetapi telah didiskualifikasikan dan digantikan oleh Mulino.
Seorang ahli perniagaan dan jutawan ketika menjadi presiden, Martinelli telah disiasat dalam pelbagai skandal rasuah sejak meninggalkan jawatan.
"Dengan anak saya, keluarga, dan orang tersayang, saya telah membuat keputusan untuk menerima laluan selamat sebagai pelarian politik ke Nicaragua," kata Martinelli di Instagram pada Khamis. "Saya tidak bersalah dalam proses politik yang tidak adil ini," tambahnya.-AFP.