fb fb fb fb fb

Rundingan ‘Normandy Four’ mengenai krisis Rusia - Ukraine, gagal

FOTO AFP

(Tentera Ukraine mengadakan latihan berhampiran bandar Chuguev, Kharkiv pada 10 February 2022)

 

MOSCOW, 11 Februari- Kremlin menyatakan “tiada keputusan” dicapai selepas pertemuan perunding dari Rusia, Ukraine, Jerman dan Perancis bagi mencari penyelesaian krisis Ukraine.

Pada Khamis, para diplomat mengadakan pertemuan dalam format dipanggil ‘Normandy’ di Berlin di tengah-tengah kebimbangan bahawa Rusia merancang untuk menyerang jirannya, Ukraine.

“Kami semua menyaksikan bagaimana pertemuaan penasihat politk ‘Normandy Four’ berakhir tanpa hasil,” kata jurucakap Kremlin, Dmityr Peskov kepada wartawan pada Jumaat.

Katanya, beberapa diplomat “berdepan masalah untuk memahami teks yang amat pendek dan sangat jelas,” merujuk perjanjian damai Minsk 2015 antara Kyiv dan Moscow berhubung konflik pemisah.

“Pihak Ukraine tidak memenuhi komitmennya,” tambah Peskov.

Rundingan empat penjuru, "Normandy" diperkenalkan pada 2014 bagi menamatkan pertempuran antara Ukraine dengan pemisah disokong Rusia di timur negara itu.

Pertemuan pada Khamis selama lebih sembilan jam itu berlangsung di tengah-tengah kebimbangan Eropah untuk meredakan ketegangan mengenai konflik Ukraine.

Para pemimpin barat telah menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan serangan Rusia ke atas Ukraine selepas Moscow menghantar lebih 100,000 tentera ke sempadan negara bekas Soviet itu.

“Kami tidak bersetuju dengan dokumen bersama itu,” kata Andriy Yermak, perunding dari Kyiv yang juga Pembantu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, semasa taklimat, sejurus selepas mesyuarat berakhir.

Tambahnya, “kami akan terus berusaha dan semua pihak akan berusaha mencapai ke arah sama.”

"Hari ini, setiap orang menyatakan kesetiaan mutlak berhubung gencatan senjata tanpa sebarang syarat, kata Yermak.

Menurut wakil Jerman, mesyuarat Normandy seterusnya dijadualkan pada Mac depan. -AFP

Media Baharu