SHARM EL-SHEIKH, 8 Oktober - Hamas mengesahkan mereka telah bertukar senarai nama tebusan Israel dan tahanan Palestin yang akan dibebaskan, dalam rundingan damai yang sedang berlangsung di Mesir.
Menurut kenyataan Hamas, rundingan itu memberi tumpuan kepada mekanisme gencatan senjata, pengunduran tentera Israel dari Gaza, dan pelaksanaan pelan damai oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Fasa pertama pelan yang dicadang oleh Trump itu masih belum mencapai kata sepakat, setakat ini.
Dalam rundingan tersebut, wakil dari Amerika Syarikat diketuai bekas utusan damai Asia Barat Steve Witkoff dan Jared Kushner.
Turut serta sebagai perantaraan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman al-Thani, serta Ketua Perisikan Turki, Ibrahim Kalin. -REUTERS