fb fb fb fb fb

Rubio optimis PBB akan sokong pasukan keselamatan antarabangsa di Gaza

Foto AFP

HAMILTON, 13 November - Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, menyatakan keyakinannya bahawa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bakal memuktamadkan satu resolusi berhubung Gaza menyokong penubuhan pasukan keselamatan antarabangsa.

“Kami optimistik perkara ini akan menjadi kenyataan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat menteri-menteri luar G7 di Kanada, pada Rabu.

Rubio menjelaskan, Amerika Syarikat kini sedang berunding dengan beberapa negara lain bagi mencari keseimbangan kepentingan serta struktur pelaksanaan resolusi tersebut, melangkaui aspek penubuhan pasukan keselamatan semata-mata.

Minggu lalu, Washington mula mengedarkan draf resolusi yang bertujuan menyusuli gencatan senjata dalam perang dua tahun diterajui oleh Presiden Donald Trump.

Walaupun pentadbiran Trump sebelum ini sering mengkritik PBB, beberapa negara menegaskan mereka memerlukan kelulusan Majlis Keselamatan sebelum menghantar pasukan tentera ke Gaza.

Rubio menegaskan, penempatan pasukan keselamatan antarabangsa adalah penting bagi memastikan lebih banyak bantuan dapat disalurkan ke wilayah Palestin serta bagi mengekang pengaruh Hamas.

“Jika mahu melihat peningkatan ketara bukan sahaja dalam bantuan kemanusiaan, tetapi juga pembangunan semula, aspek keselamatan perlu diwujudkan terlebih dahulu,” katanya.- AFP

AZRUL FAIZAL JUSOH