PUNJAB, 13 November - Ketika ibu negara India, New Delhi, bergelut dengan pencemaran udara teruk, para petani di Punjab membakar sisa tanaman mereka bagi persiapan musim penanaman seterusnya.
Langit di Mansa, Punjab, kelihatan kabur berwarna jingga dengan asap mengepul daripada sawah padi yang dibakar; amalan yang masih berterusan walaupun kerajaan sebelum ini mengambil tindakan tegas.
Kebakaran ladang di negeri-negeri berhampiran seperti Haryana dan Punjab menjadi punca utama pencemaran yang kini menenggelamkan ibu negara, di mana Indeks Kualiti Udara (AQI) kekal melebihi 400 dalam kategori “teruk”.
Data satelit kerajaan menunjukkan peningkatan kebakaran sisa tanaman sejak awal November, yang digunakan oleh petani untuk membersihkan tanah sebelum penanaman seterusnya.
Kebakaran seperti itu sebelum ini sering menjadi punca pencemaran tinggi di utara India.
Timbalan Pesuruhjaya Mansa, Navjot Kaur, berkata bagi ramai petani, pembakaran sisa tanaman adalah kaedah paling mudah, manakala kekangan kewangan dan kekurangan mesin turut menyumbang kepada amalan tersebut.
India turut memperketat langkah antipencemaran di New Delhi dan kawasan sekitarnya pada Selasa apabila kualiti udara merosot ke tahap “teruk”, menurut Suruhanjaya Pengurusan Kualiti Udara.
Peringkat Ketiga Pelan Tindak Balas Berperingkat dilaksanakan, mengharamkan kerja pembinaan yang tidak penting dan mengehadkan aktiviti industri menggunakan bahan api pencemar.
New Delhi dan daerah sekitarnya sering diselubungi kabus tebal pada musim sejuk apabila udara sejuk memerangkap pelepasan daripada kenderaan, tapak pembinaan dan pembakaran tanaman, menjadikan pencemaran antara yang tertinggi di dunia serta menjejaskan kira-kira 30 juta penduduk ibu negara. -REUTERS