HAMILTON, 13 November - Menteri-Menteri Luar Kumpulan Tujuh (G7) pada Rabu menyeru gencatan senjata segera di Ukraine dan menyuarakan kebimbangan terhadap krisis kemanusiaan di Sudan pada penutupan mesyuarat tersebut di Kanada.
Dalam kenyataan bersama, diplomat tertinggi dari Britain, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun dan Amerika Syarikat menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kedaulatan wilayah Ukraine, sambil menyatakan gencatan senjata segera amat diperlukan.
Mesyuarat itu juga mengecam keganasan yang meningkat di Sudan, menyifatkannya sebagai “krisis kemanusiaan terbesar di dunia” akibat pertempuran antara tentera Sudan dan Rapid Support Forces (RSF) yang telah meragut puluhan ribu nyawa dan memaksa hampir 12 juta penduduk berpindah sejak April 2023.
Setiausaha Negara Amerika, Marco Rubio menggesa tindakan antarabangsa bagi memutuskan bekalan senjata kepada RSF yang didakwanya bertanggungjawab terhadap pertumpahan darah berterusan.
G7 turut mendesak kedua-dua pihak melaksanakan gencatan senjata segera dan membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan.- AFP