PARIS, 31 Oktober - Pihak berkuasa Perancis menahan lima lagi suspek terkait kes rompakan barang kemas di Muzium Louvre.
Pendakwa Raya Paris, Laure Beccuau pada Khamis memaklumkan kepada radio RTL bahawa penahanan itu dibuat serentak di beberapa lokasi pada malam Rabu.
Salah seorang suspek dipercayai ahli kumpulan yang digelar 'komando Louvre' dan berada di tempat kejadian semasa kecurian berlaku.
Tambah Beccuau, dua suspek yang ditahan lebih awal, iaitu pada Sabtu 'sebahagiannya' telah mengaku melakukan jenayah terbabit.
"Mereka akhirnya mengaku. Bagaimanapun siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti semua yang terlibat," jelasnya.
Beccuau berkata meskipun penahanan terbaharu itu telah dibuat, barangan kemas yang dicuri masih belum ditemukan.
Dalam kejadian pada 19 Oktober lepas, lapan barangan kemas koleksi diraja Perancis dianggar bernilai US$102 juta telah dicuri dari muzium berkenaan oleh sekumpulan perompak.
Lebih 100 penyiasat telah digerakkan untuk menjejaki suspek dan mendapatkan semula khazanah yang hilang itu.
Muzium berkenaan dibuka semula tiga hari selepas rompakan terbabit. - REUTERS-ANADOLU