(Foto hiasan)
TORONTO, 21 April- Kehilangan kargo emas bernilai C$20 juta (RM65.84 juta) dan barang berharga lain yang dicuri dari kemudahan simpanan sementara di Lapangan Terbang Antarabangsa Pearson Toronto pada Isnin lalu sedang disiasat polis.
Inspektor Polis Wilayah Peel, Stephen Duivesteyn berkata, kargo itu dilaporkan hilang selepas tiba dengan sebuah pesawat pada petang Isnin.
Duivesteyn berkata, selepas pesawat mendarat, kargo itu dipunggah dan dibawa ke kemudahan simpanan sementara seperti prosedur biasa, tetapi hilang beberapa ketika selepas itu.
"Selepas tiba, kargo bernilai tinggi ini dikeluarkan dengan cara yang tidak sah dari kemudahan simpanan sementara," katanya.
Laporan polis mengenai kehilangan kargo itu dibuat tidak lama selepas itu.
Duivesteyn tidak menyatakan dari mana pesawat yang membawa kargo itu atau destinasi terakhirnya.
"Ini sangat jarang berlaku," katanya sambil menyifatkan insiden berkenaan sebagai terpencil.
Duivesteyn juga berkata, masih terlalu awal dalam siasatan untuk menyatakan sama ada ia adalah kecurian profesional atau jenayah peluang. -Reuters
(Stephen Duivesteyn)