fb fb fb fb fb

Jeneral Sudan siar kenyataan sempena Aidilfitri

(Abdel Fattah al-Burhan)

SUDAN, 21 April- Ketua Tentera Sudan, Abdel Fattah al-Burhan menyiarkan kenyataan sempena Hari Raya Aidilfitri, namun tidak menyebut tentang sebarang gencatan senjata, susulan konflik berdarah di negara itu membabitkan dua pihak iaitu Angkatan Tentera Sudan (SAF) dan Rapid Support Forces (RSF).

Menerusi rakaman itu, beliau menyatakan pihaknya meratapi semua mangsa dan berdoa agar perayaan Aidilfitri kembali selamat dan aman.

"Kami meratapi semua mangsa dan berdoa untuk pemulihan mereka yang cedera serta berdoa kepada Tuhan agar Aidilfitri dapat kembali disambut dengan selamat dan aman.

"Kehancuran dan kemusnahan serta bunyi tembakan tidak memberi ruang untuk kegembiraan yang layak diterima oleh rakyat dan kami amat sedih dengan ini.

"Bagaimanapun, masih ada harapan bahawa kita akan mengatasi kesusahan ini dan bangkit daripadanya dengan bersatu, kekuatan, kesepaduan, dan slogan kita hanya akan menjadi lebih kuat.

"Saya tabik kepada anda, tentera saya kerana anda memberikan nyawa anda untuk negara tercinta ini. Hidup Sudan, bebas dan merdeka," katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, RSF memaklumkan, pihaknya bersetuju dengan gencatan senjata selama 72 jam pada Jumaat atas faktor kemanusiaan, selain perayaan Aidilfitri.

Sekurang-kurangnya 300 orang terbunuh, manakala ribuan lagi cedera sejak pertempuran meletus pada Sabtu. -Reuters

(Jemaah Islam selepas solat sunat Aidilfitri di Masjid al-Hara al-Rabaa di Khartoum,
Sudan pada 21 April 2023/AFP)

Media Baharu